TAWAU: Jambori Nusantara Antarabangsa Tawau ke-3 berjaya menghimpunkan lebih 2,300 peserta dari pelbagai negara menjadikannya antara perhimpunan belia terbesar di kawasan Borneo pada tahun ini.
Program bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Kem Pengakap Tiku itu bukan sahaja disertai peserta dari seluruh Sabah, Johor, WP Kuala Lumpur dan Labuan, malah turut membabitkan kehadiran dari Negara Brunei Darussalam dan Gerakan Pramuka Indonesia.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jambori itu menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda melalui pelbagai pengisian bersifat fizikal, kerohanian, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
“Hakikatnya, jambori ini bukan sekadar perhimpunan pengakap. Ia adalah simbol kesatuan, wadah pertukaran ilmu dan budaya serta pentas memupuk nilai-nilai murni seperti keberanian, disiplin, kepimpinan dan rasa hormat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jambori Nusantara Antarabangsa Tawau ke-3, di Kem Pengakap Tiku, baru-baru ini.
Nizam berkata, jambori yang menghimpunkan belia dari pelbagai latar belakang itu turut berperanan sebagai jambatan memperkukuh semangat perpaduan dan persaudaraan serantau, khususnya dalam kalangan masyarakat Nusantara.
“Ilmu bukan hanya terkandung dalam buku. Apa yang dipelajari di sini bukan sekadar untuk mendapatkan lencana, tetapi untuk hidup. Belajar berdikari, belajar bercakap dengan yakin dan berani.
“Jambori ini merentasi bendera dan sempadan negara. Ia memupuk semangat sejati pengakap Nusantara, membawa obor tanggungjawab, keamanan, integriti dan rasa hormat terhadap budaya, alam sekitar dan sesama manusia,” jelasnya.
Menurut beliau, keseimbangan antara pendidikan akademik dan kemahiran insaniah perlu diberi perhatian kerana ia adalah asas pembinaan modal insan berkemahiran tinggi yang beradab dan beretika.-Penerangan.








