Empat ditahan, cuba lari hingga rempuh motosikal polis

Oleh FARDY BUNGGA


TAWAU: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan, selepas dipercayai nekad merempuh motosikal polis dalam kejadian di kawasan Persisiran Traulsen, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, anggota polis terbabit dikatakan cuba membuat pemeriksaan terhadap kenderaan Proton Saga berkenaan.
Bagaimanapun, kereta yang dipandu seorang lelaki itu tiba-tiba merempuh motosikal polis dipercayai untuk mengelak daripada diperiksa pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum kejadian, anggota polis terbabit sedang menjalankan rondaan bit di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, anggota polis bertugas mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Menyedari kehadiran polis, pemandu kereta bertindak agresif cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan melanggar sebuah motosikal milik anggota polis.
“Suspek turut melanggar tembok di sebuah bangunan kerajaan dan pembahagi jalan sebelum berjaya ditahan oleh polis,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat individu membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 15 hingga 23 tahun berada di dalam kereta berkenaan.
“Tiga daripada suspek yang juga warga asing yang dipercayai tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan diri yang sah.
“Semua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

DITAHAN …. Empat suspek berusia 15 hingga 23 tahun yang berjaya ditahan pihak polis.