Oleh JOHN TAMBANAN
TUARAN: Tuaran akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Mr Sabah, di Dewan Sri Sulaman, di sini dari 1-2 Ogos depan.
Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran akan menganjurkan kejohanan peringkat negeri itu.
Presiden SBBA, Clarence Runggi, membuat pengumuman itu ketika mengetuai persatuan itu mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
“Tujuan penganjuran Mr Sabah adalah untuk memilih ahli bina badan dari negeri ini untuk mewakili negeri dalam pertandingan bina badan peringkat kebangsaan, Mr Malaysia, yang dijangka diadakan dari 25–29 September di Pahang.
“Kejohanan Mr Sabah akan menampilkan 14 kategori, termasuk lapan kategori bina badan junior dan senior, dua kategori fizikal lelaki dan satu kategori ‘Model Athletic’ wanita,” kata Clarence dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Clarence menggesa semua atlet yang berminat untuk mendaftar awal dan mengelak daripada menunggu sehingga saat akhir.
“Selain mewakili negeri, pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil kejohanan,” katanya.
Sementara itu, Herman mengalu-alukan dan merakamkan penghargaan atas pemilihan Tuaran sebagai daerah tuan rumah pertandingan berprestij itu.
Beliau menjemput peminat sukan bina badan dan orang ramai khususnya penduduk daerah Tuaran hadir memberi sokongan kepada atlet yang mengambil bahagian.







