Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat meneruskan cadangan mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal berturut-turut sekiranya diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu telah diluluskan secara dasar oleh Kabinet Negeri pada Disember 2023, namun belum dapat dibentangkan sebagai pindaan perlembagaan kerana kekurangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sebelum ini kita tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk meminda Perlembagaan Sabah. Justeru, kita memutuskan untuk membentangkannya semula jika mandat baharu diterima,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Filem Komuniti 10 Star dan tayangan perdana filem Impak Maksima 2 di Parklane City, Benoni, malam Rabu.
Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, langkah mengehadkan jawatan itu adalah antara komitmen awal GRS sekiranya memperoleh kemenangan lebih besar dalam PRN17, sekali gus membolehkan pelaksanaan segera rang undang-undang berkaitan.
Beliau menjelaskan, manifesto PRN17 GRS akan memfokuskan dua komponen utama, iaitu empat tonggak perjuangan — Sabah Didahulukan, Sabah Maju, Sabah Sejahtera dan Sabah Bersatu — serta pencapaian lima tahun pentadbiran GRS menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (SMJ 1.0).
Katanya, pencapaian GRS akan dibentangkan dalam dua kategori: walk the talk, iaitu janji yang telah ditunaikan, dan work in progress, iaitu usaha yang sedang dilaksanakan tetapi belum selesai.
“Contohnya, di bawah tonggak Sabah Bersatu, bukan sahaja soal perpaduan diketengahkan tetapi juga aspek tadbir urus yang baik, termasuk cadangan had dua penggal jawatan Ketua Menteri sebagai amalan kepimpinan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, cadangan itu turut membolehkan individu yang pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal berturut-turut untuk bertanding semula selepas berehat satu penggal.









