450 belia sertai Kejohanan Esport Tertutup Daerah Pitas

PITAS: Kejohanan Esport Tertutup Daerah Pitas yang berlangsung di Dewan Sukan Pitas mencatat penyertaan luar biasa apabila seramai 450 belia, lelaki dan perempuan, mengambil bahagian dalam pertandingan sukan elektronik tersebut.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), Datuk Harun Haji Ismail ketika merasmikan kejohanan berkata, penyertaan ini menunjukkan belia di daerah Pitas semakin terbuka menerima perubahan dan potensi sukan digital.
“Dulu esport dianggap tidak menjanjikan masa depan, tetapi kini ia merupakan sukan global dengan ganjaran mencecah jutaan ringgit. Kita perlu bersikap terbuka dan positif untuk maju ke hadapan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan para peserta, khususnya yang masih bersekolah, agar mengutamakan pendidikan dan tidak menjadikan esport sebagai alasan untuk mengabaikan pelajaran. “Fokuslah kepada akademik kerana kejayaan sebagai graduan juga penting untuk masa depan,” tambah beliau.
Harun turut memuji inisiatif penganjur yang diketuai oleh Alpicino@Sino yang tampil berkongsi idea dan memohon sokongan dana bagi menjayakan kejohanan ini di peringkat daerah. “Tahniah atas semangat dan usaha menganjurkan kejohanan yang memberi manfaat besar kepada belia,” ujarnya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu mempertandingkan enam kategori iaitu Efootball Mobile, Efootball Console, PUBG, Free Fire, Mobile Legends dan Mobile Legends League 2, dengan hadiah wang tunai dan piala ditawarkan kepada para pemenang.
Antara pemenang utama ialah Meow Suweyy (Efootball Mobile), Xebee (Efootball Console), Prime Marudu (PUBG), Don’t Panic (Free Fire), Saga Pitas (Mobile Legends) dan Tumulak (Mobile Legends League 2). Setiap juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala, manakala pemenang lain menerima wang tunai mengikut kedudukan masing-masing.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Abdul Majit yang mewakili Datuk Harun, serta disertai Pegawai Belia dan Sukan PBU Sabah, Mohd Nazri Abdul Karim, dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Daerah Pitas, Ariffin Matasin.
Harun yang juga Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas mencadangkan agar kejohanan seumpamanya diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk perpaduan, mencungkil bakat serta memperkasa belia sebagai pelapis masa depan sukan negara.
Kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh daripada warga kerja Datuk Harun, para pegawai daerah, dan komuniti belia Pitas, menjadikannya satu acara sukan berimpak tinggi yang membanggakan daerah tersebut.- Oleh HJ MOHD AMIN HJ MUIN & A. JALIL MADARIN.

MELUNCURKAN…Disaksikan oleh jawatankuasa penganjur Harun (tengah) meluncurkan pertandingan esport elektronik.