KOTA KINABALU: Polis daerah ini mengesahkan kejadian kemalangan yang mengakibat penunggang motosikal maut di Jalan Sepanggar berhampiran Hotel Tang Dynasty, di sini, kelmarin disebabkan terbabas sendiri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 7.15 pagi.
Katanya, motosikal berkenaan bergerak dari arah Indah Permai menghala ke kawasan Tebobon sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan dan terjatuh ke dalam parit konkrit yang terletak di tengah-tengah pembahagi jalan.
“Akibat kejadian, penunggang yang tercampak ke dalam parit disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, motosikal mangsa turut mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
Sehubungan itu, Kasim berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu Inspektor Roystone Ubak di talian 016-3130153.-FB.







