Tangguh penutupan penyelenggaraan Terminal Gas demi kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM)Cawangan Sabah menyatakan kebimbangan serius terhadap penutupan penyelenggaraan besar-besaran yang dijadualkan oleh Petronas di Terminal Gas Sabah pada 1 hingga 7 Ogos 2025, sebagai sebahagian daripada jadual penyelenggaraan lima tahunannya.
Pengerusi YPNM Cawangan Sabah, David Chan berkata pihaknya dimaklumkan bahawa penutupan ini akan menyebabkan gangguan bekalan gas ke beberapa loji janakuasa bebas (IPP) utama di seluruh Sabah.
“Akibatnya, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di seluruh negeri, yang akan menjejaskan kebanyakan pengguna dalam pusingan dua jam setiap hari. Walau bagaimanapun, perkhidmatan penting seperti hospital dan fasiliti kesihatan tidak akan terlibat dalam catuan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
David berkata, memandangkan keadaan cuaca yang sangat panas pada masa ini, gangguan bekalan elektrik boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam, khususnya kepada warga emas, kanak-kanak dan golongan yang menghidap penyakit kronik.
Selain itu, katanya sektor perniagaan dan perindustrian turut dijangka mengalami kerugian ekonomi dan gangguan operasi akibat ketidakstabilan bekalan tenaga.
“Sehubungan itu, kami menggesa Petronas untuk mempertimbangkan semula dan menangguhkan tarikh penyelenggaraan tersebut ke satu masa yang lebih sesuai — sebaiknya selepas musim panas ini berakhir atau setelah bekalan tenaga simpanan dan sistem sokongan tambahan bersedia sepenuhnya.
YPNM Sabah juga menyokong gesaan Sabah Electricity agar semua pihak berkepentingan berganding bahu untuk mengutamakan kebajikan pengguna dan memastikan kestabilan ekonomi Sabah terus terpelihara.
“Setiap keputusan berkaitan infrastruktur kritikal seperti bekalan elektrik perlu mengambil kira faktor cuaca, kesan sosial, dan keyakinan pelabur,” tegasnya.-JT

David Chan