Dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-13 – Armizan
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan akan memperkukuh rantaian bekalan makanan dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, usaha ini akan dilaksanakan melalui penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan, penyediaan platform untuk ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.
“Ketersediaan infrastruktur pemasaran yang merangkumi pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran serta kemudahan logistik dan perkhidmatan digital akan dipertingkatkan melalui kolaborasi dengan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Rancakkan MADANI Sabah, di Dewan Ballroom ITCC Penampang, di sini.
Armizan berkata, peruncit berskala kecil dan sederhana juga akan diperkasakan bagi meningkatkan penglibatan dalam hab pemasaran agromakanan yang akan diperkenalkan.
Di samping itu, katanya Sistem Repositori Harga dan Bekalan akan dibangunkan untuk menyediakan maklumat bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan.
“Ini juga penting untuk menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga termasuk oleh orang tengah,” katanya.
Armzan berkata, penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010 akan dipergiat dengan memanfaatkan data daripada repositori ini bagi membendung aktiviti manipulasi harga.
“Pembangunan sistem ini akan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan industri,” katanya.
Armizan berkata, RMK-13 merupakan terjemahan dan kesinambungan kepada agenda yang telah digagaskan oleh Kerajaan MADANI sejak awal tempoh pentadbiran melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya, RMK13 adalah pelan pembangunan jangka sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang iaitu bermula tahun 2026 hingga 2030.
“Hala tuju ini telah digarap dengan penuh teliti mencakupi semua dimensi khususnya kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam dan pengukuhan tatakelola,” katanya.
Katanya, salah satu daripada tiga Teras RMK-13 adalah Menaikkan Lantai. Menangani Kos Sara Hidup merupakan salah satu Tumpuan di bawah teras ini.
Katanya, kos sara hidup bukanlah isu yang unik untuk Malaysia, malah merupakan salah satu cabaran utama di peringkat serantau dan global.
“Ia menjadi lebih rumit dengan cabaran konflik geo politik dan kestabilan serta keterjaminan bekalan makanan yang terkait dengan isu perubahan iklim,” katanya.
Armizan berkata, agenda menangani isu kos sara hidup di bawah Kerajaan MADANI melibatkan dua kerangka strategi utama.
“Bukan sahaja kita perlu melihat kepada persoalan peningkatan ‘kos’ iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi, tetapi juga melihat kepada soal meningkatkan keupayaan ‘sara hidup’ itu sendiri melalui penambahan bantuan dan penjanaan pendapatan rakyat,” katanya.
Katanya, aspek kos iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi akan bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan dalam pasaran.
“Sehubungan itu, antara pendekatan yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan persaingan yang sihat dan membanteras manipulasi dalam pasaran khususnya barangan keperluan harian pengguna,” katanya.






