Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul isterinya menggunakan objek keras dalam kejadian di rumah pekerja ladang di Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di muka dan badan akibat diserang suaminya yang juga seorang warga asing.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang tampil membuat aduan di balai polis.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran mulut yang membawa kepada tindakan ganas terhadap isterinya.
“Suspek dikatakan memukul mangsa menggunakan objek keras hingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Jasmin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di kawasan perumahan pekerja ladang.
“Suspek yang berusia lingkungan 35 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.






