Op Tapis: Polis rampas 770 gram ganja

Oleh FARDY BUNGGA


KENINGAU: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya merampas 770 gram dadah jenis ganja dalam operasi Op Tapis yang dilaksanakan di sekitar daerah ini.
Hasil operasi selama dua hari yang berakhir 31 Julai lalu itu turut berjaya menahan dua lelaki berusia 30-an dan 60-an.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil anak Garai berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 27, Jalan Keningau-Tenom.
Katanya, hasil serbuan, pihak polis berjaya merampas 12 peket plastik pelbagai saiz berisi daun-daun kering disyaki ganja seberat 98.96 gram.
“Pasukan operasi turut berjaya merampas tiga peket plastik berlogo ‘Gucci’ dan satu bungkusan berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 669.66 gram.
“Kedua-dua suspek yang juga warganegara tempatan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, hasil siasatan dan bukti diperolehi, suspek lelaki berusia 30-an dituduh di Mahkamah Majistret Keningau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959 berkaitan pengedaran dadah.
“Manakala, seorang lagi suspek berusia 60-an dibebaskan tanpa syarat setelah pihak pendakwaan mendapati tiada bukti kukuh mengaitkan beliau dengan pemilikan dadah berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Yampil menegaskan bahawa PDRM Keningau akan terus melaksanakan operasi secara agresif dari semasa ke semasa.
Katanya, ia adalah usaha berterusan membanteras jenayah, khususnya kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
“Polis komited untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di Keningau sentiasa terpelihara.
“Kerjasama orang awam amatlah dihargai bagi membantu pihak polis dalam memerangi jenayah,” katanya.
Yampil berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menyalurkannya secara terus kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

GANJA …. Ganja seberat 669 gram yang berjaya dirampas daripada suspek.