Sungai didalamkan antara cadangan atasi banjir di Kg Pangkalan Asli

Oleh JOHN TAMBANAN

TAWAU: Cadangan kerja-kerja meningkatkan sistem saliran sedia ada serta proses mendalamkan sungai dijangka mampu mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kg Pangkalan Asli, Merotai.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, berkata, masalah ini mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa yang sedang merancang pelan tindakan komprehensif untuk menyelesaikan isu lama yang membelenggu penduduk setempat.
Katanya, langkah ini dikenal pasti akan memastikan air hujan dapat dialirkan dengan lebih lancar sekali gus mengurangkan risiko banjir berulang.
“Masalah banjir di Kg Pangkalan Asli bukanlah isu baharu malah sudah lama sekali gus dilihat sangat membebankan kalangan penduduk serta kampung berhampiran.
“Namun, kita yakin masalah ini akan dapat diselesaikan melalui kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi teknikal dan komuniti, masalah ini akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya pada Majlis Besama Rakyat, di Kg Pangkalan Asli, Merotai, semalam.

Liew turut menegaskan bahawa cadangan itu nanti akan merangkumi pelan tindakan jangka masa panjang serta tidak hanya tertumpu kepada pembaikan fizikal sahaja.

“Malah ia akan merangkumi pemantauan secara berterusan dan kesiapsiagaan menghadapi musim keadaan cuaca tidak menentu yang biasanya meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan ini.
“Selain Kg Pangkalan Asli, beberapa kawasan lain sering dilanda banjir di sekitar Merotai termasuk Kg Jagung, Kg Kijang serta Kg Iban,” jelas Liew.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan komuniti amat penting untuk memastikan langkah-langkah penyelesaian ini berjalan lancar dan berkesan.
Beliau yakin dengan usaha bersama, masalah banjir dapat dikurangkan dan kualiti hidup penduduk setempat dapat dipertingkatkan.
Penduduk Kg Pangkalan Asli berharap pelan tindakan ini akan membawa perubahan yang positif dan dapat menyelesaikan masalah banjir yang sudah lama menjejaskan kehidupan harian mereka.

BERUCAP …. Liew Yun Fah ketika menyampaikan ucapan di majlis itu.