Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Prosiding inkues melibatkan kes Zara Qairina Mahathir akan menyaksikan simulasi jatuhan patung (mannequin) di lokasi kejadian, esok (hari ini).
Peguam, Joan Goh berkata, pihaknya akan membawa mannequin yang lebih hampir dengan keadaan fizikal Zara Qairina iaitu melibatkan ketinggian dan berat sama.
Katanya, permohonan untuk membawa mannequin itu telah diluluskan oleh Mahkamah Koroner dan mereka percaya ia akan membantu prosiding inkues kes berkenaan.
“Kami akan menyesuaikan berat yang diperlukan bagi memastikan ia menyerupai keadaan sebenar.
“Simulasi akan dilakukan di blok asrama sekolah tempat arwah ditemui sebelum ini, dengan beberapa ujian berbeza bagi mendapatkan gambaran lebih jelas,” katanya.
Beliau ketika ditemui media selepas selesai prosiding inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner, kelmarin.
Joan berkata, dua ujian utama akan dilaksanakan iaitu jatuhan pertama tanpa tolakan dan kedua dengan sedikit tolakan.
“Tujuannya untuk menunjukkan perbezaan jarak. Jika ditolak, apa jauhnya, dan jika dilepaskan tanpa tolakan, apa pula jaraknya,” katanya.
Joan berkata, ujian tambahan turut dijalankan dengan mengenakan mannequin dengan pakaian tracksuit dan t-shirt nipis dan berat sekitar 53 kilogram serta ketinggian 154 sentimeter, hampir menyamai keadaan sebenar arwah.
Prosiding di hadapan Koroner Shah Amir Hassan itu akan bersambung hari ini di lokasi kejadian sebelum kembali ke mahkamah untuk mendengar keterangan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.






