KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh kerajaan negeri gagal menangani isu tenaga jelas tidak berasas dan hanya menyerlahkan budaya politik lama yang pandai menjerit tetapi tidak tahu mencari jalan keluar.
“Hakikatnya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, kerajaan Sabah telah mengambil langkah serius dan menyeluruh untuk menyelesaikan isu legasi tenaga ini, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dengan sokongan kerajaan negeri sedang mengemukakan cadangan untuk melaksanakan projek Southern Link, talian penghantaran 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau yang akan melengkapkan grid tenaga Sabah.
Kerajaan negeri berharap akan menerima persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan, semoga perancangan ini bakal dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) demi kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya di Pantai Timur.
Projek ini akan memastikan Pantai Timur tidak lagi hanya bergantung pada talian Kolopis–Segaliud.
Lebih daripada itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang merangka pengambilalihan SESB supaya kawalan tenaga dapat ditentukan sendiri oleh rakyat Sabah.
“Langkah ini disokong dengan Pelan Pembangunan Penjanaan fast track, penyewaan loji sementara, pembinaan loji solar berskala besar, serta pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) 100MW yang dipercepatkan jadual siapnya.
Bukan itu sahaja, kerajaan telah melancarkan Pelan Induk & Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang merangkumi 16 strategi utama bagi menjamin bekalan tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan,” katanya
Nizam, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) pula membolehkan negeri ini mengawal selia secara terus tenaga elektrik dan gas.
“Ini semua adalah kerja nyata, projek sudah berjalan, pelan sudah dirangka, dan pelaksanaan sedang dipercepat. Inilah bezanya kerajaan GRS dengan pembangkang. Kita bekerja, mereka bercakap,” katanya
Nizam berkata, rakyat tidak lapar dengan kenyataan politik Suhaimi, mereka mahu lampu di rumah menyala dan kilang terus beroperasi.
“Kerajaan GRS di bawah Hajiji telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan tindakan jelas, bukan janji kosong,” katanya.-JT










