Oleh FARDY BUNGGA
LAHAD DATU: Bangkai seekor gajah pygmy Borneo betina ditemui di kawasan Blok 57, Felcra Berhad Estate Danum, pagi semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Mohd Soffian Abu Bakar berkata, gajah berkenaan mati di dalam kawasan Hutan Simpan Lembah Danum.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bangkai haiwan berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan luaran mahupun kesan tembakan.
“Gajah berkenaan dipercayai sudah mati antara satu hingga dua hari lalu dan berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan Felcra Estate Danum, bangkai berkenaan dijumpai oleh seorang mandur ladang ketika membuat rondaan kira-kira jam 10.20 pagi.
“Namun, setakat ini punca kematian haiwan itu masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi lanjut bersama pasukan bedah siasat akan dijalankan esok (hari ini) bagi mengambil sampel serta melakukan analisis makmal.
“Gajah pygmy Borneo (Elephas maximus Borneensis) betina itu dianggarkan mempunyai berat antara 600 hingga 1,200 kilogram dengan ketinggian sekitar 5.2 hingga 5.9 kaki.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Gajah pygmy Borneo merupakan subspesies gajah Asia yang hanya terdapat di Borneo dan disenaraikan sebagai spesies terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).








