Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada syarikat korporat, GLC dan NGO yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah, khususnya Petronas dan Yayasan Petronas yang setakat tahun ini telah menyumbang sebanyak RM980,000.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah membuktikan komitmen sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan Petronas dan Yayasan Petronas. Ini mencerminkan komitmen padu syarikat tenaga nasional terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya ketika berdepan bencana banjir,” katanya pada majlis penyerahan bantuan bencana oleh Petronas di Menara Kinabalu.
Bantuan terbaharu diserahkan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan Petronas, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, merangkumi barangan keperluan asas, tilam lipat, kanopi, kipas, bekalan air minuman dan pek makanan.
Turut disampaikan ialah kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk pembelian bahan api kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Siti Ayu berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Petronas menyokong kesiapsiagaan bencana di Sabah, dengan bantuan yang dirancang setiap tahun bagi memastikan penghantaran tepat pada masanya ketika musim banjir.
Setakat ini, Petronas dan Yayasan Petronas telah menyalurkan RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pascabencana di Sabah tahun ini.
Menurut Hajiji, sokongan daripada sektor swasta dan NGO amat penting dalam melengkapkan usaha kerajaan serta mempercepatkan proses pemulihan.
“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat tampil ke hadapan. Dengan sokongan padu sebegini, bantuan dapat disalurkan kepada mangsa dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.





