Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menetak seorang kontraktor dalam kejadian di Kampung Autentik, Tanjung Batu Laut, di sini, Isnin lalu.
Lelaki berusia 30 tahun itu didakwa bertindak sedemikian di belakang rumah mertua mangsa, kira-kira jam 1.10 petang, pada 29 September lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tetak berkenaan daripada salah seorang rakan mangsa.
Katanya, suspek didakwa menetak mangsa kontraktor berusia 40 tahun itu yang kemudiannya dihantar ke Zon Merah kecemasan Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Suspek berjaya ditahan di hadapan Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh mempunyai tiga rekod lampau termasuk kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 377(B) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya.








