Oleh FARDY BUNGGA
KOTA BELUD: Dua pelancong warga China yang menginap di pusat peranginan di Pulau Mantanani, di sini, dikhuatiri hilang selepas gagal dikesan sejak semalam.
Kedua-dua mangsa berusia 25 serta 28 tahun itu dilaporkan sepatutnya mendaftar keluar dan bergerak keluar daripada Pulau Mantanani, namun sehingga kini masih belum dapat dikesan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.25 pagi.
Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) terus dikerah ke lokasi.
“Menurut pihak polis, dua orang pelancong warga China iaitu seorang lelaki dan wanita menginap di Sutera Mantanani pada Sabtu lalu.
“Kedua-dua mangsa sepatutnya daftar keluar daripada penginapan pada Ahad dan bergerak keluar daripada Pulau Mantanani, namun sehingga kini kedua mangsa ini masih belum dijumpai,” katanya pada kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, siasatan mendapati barang-barang kepunyaan kedua-dua mangsa masih berada di dalam bilik.
“Pasukan bomba bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi pencarian dilaksanakan menggunakan kaedah ‘Water Surface’ di persisiran pulau bersama pasukan penyelamat dari agensi yang lain. Sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.





