Penunggang maut dalam nahas 4WD – motosikal di Tawau

Oleh JAMES LEONG

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Bombalai, di sini pada Ahad.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8.30 pagi berhampiran simpang menuju ke sebuah ladang.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, kenderaan 4WD yang dipandu lelaki berusia 56 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kalabakan menuju ke pusat bandar Tawau.
Apabila tiba di kawasan simpang berkenaan, kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah motosikal yang keluar dari simpang sambil membelok ke kanan.
Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 48 tahun tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu 4WD tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Beliau turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan agar tampil membantu siasatan polis.

NAHAS …. Keadaan motosikal yang remuk dalam kemalangan maut di Tawau pada Ahad.