Audit forensik langkah pertama BN pulihkan integriti Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa sekiranya diberi mandat untuk mentadbir semula negeri ini, langkah pertama yang akan dilaksanakan ialah audit forensik menyeluruh terhadap Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM).
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata audit tersebut penting bagi memastikan setiap kelulusan, lesen dan konsesi mineral diurus secara telus, berintegriti dan berlandaskan kepentingan rakyat Sabah, bukannya kepentingan peribadi atau politik.
“Isu SMM telah mendedahkan kelemahan serius dalam sistem pengurusan sumber negeri. Apabila aset negeri diselubungi pelbagai kontroversi, itu tanda sistem pentadbiran sudah longgar dan perlu diperbetulkan segera,” katanya.
Menurutnya, BN percaya Sabah memerlukan kerajaan yang berani memperbetulkan keadaan, bukan sekadar menafikan kesilapan, justeru pelaksanaan audit forensik akan menjadi langkah pertama dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
“BN bukan datang untuk menghukum sesiapa. BN datang untuk memulihkan disiplin, menegakkan integriti dan mengembalikan maruah kerajaan negeri,” tegas Ahli Parlimen Libaran itu.

Foto: Suhaimi Nasir