PPM patahkan cubaan seleweng minyak sawit mentah

Oleh FARDY BUNGGA


TAMBUNAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan menyeleweng minyak sawit mentah bernilai lebih RM3 juta dalam operasi di daerah ini, semalam.
Operasi jam 10.30 malam itu dilaksanakan hasil maklumat risikan daripada Unit Risikan Marin, membawa kepada penahanan lima individu warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan, PPM turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan iaitu tiga lori tangki dan dua kenderaan Toyota Hilux.
Selain itu katanya, turut dirampas ialah 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3 juta termasuk kenderaan dan peralatan menyeleweng minyak sawit mentah.
“Kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Mohd Nazri, berkata kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PPM dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan dan lokasi strategik di Sabah.
“Pasukan Polis Marin akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan setiap kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras secara tuntas,” katanya.
Mohd Nazri turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyelewengan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

KENDERAAN yang digunakan untuk aktiviti menyeleweng minyak sawit mentah.