Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan berjaya menangkap seekor buaya seberat kira-kira 200 kilogram di Kampung Sungai Obar, Batu 7 Jalan Sungai Kayu, awal pagi semalam.
Pegawai APM Sandakan, Kapten (PA) Sulaiman Salama, berkata reptilia sepanjang sembilan kaki itu ditangkap selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.42 pagi.
Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM menerima laporan bahawa seekor buaya dilihat muncul di bawah sebuah rumah selepas mengejar seekor anjing.
“Pemanggil yang ketakutan melihat buaya berkenaan menghampiri kawasan perumahan lalu segera menghubungi talian kecemasan NG999 bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Bertindak atas panggilan itu, Sulaiman mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian. Setibanya di tempat tersebut, pasukan operasi bertindak pantas menjerat buaya dan menutup matanya menggunakan tali, alat pengapit serta selimut keselamatan bagi mengelakkannya menjadi agresif.
Operasi yang bermula sebaik panggilan diterima dan tamat pada jam 2.53 pagi itu hanya mengambil masa 49 minit, tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini dilaporkan.
Seramai lapan anggota APM terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan dua kenderaan penyelamat ringan (LRV).
Sulaiman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, terutama di kawasan berhampiran sungai, dan segera melaporkan sebarang penemuan haiwan liar berbahaya melalui talian kecemasan NG999.








