Miliki monumen penanda arah kiblat tertinggi Malaysia
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu kini bukan sahaja menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Sabah dan destinasi pendakian bertaraf dunia, tetapi turut mencipta sejarah baharu apabila Monumen Penanda Arah Kiblat yang dipasang di KM8 gunung itu diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort, di sini pada Isnin.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar kejayaan fizikal, tetapi simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek bermakna.
“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia sebagai lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan sekadar rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya.
Menurut beliau, pemasangan monumen itu amat signifikan kerana membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat semasa menunaikan solat di altitud tinggi — menyelesaikan cabaran utama dalam pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.
“Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk beribadah dengan sempurna,” ujarnya.
Monumen tersebut dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut, menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di negara ini. Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Taman-Taman Sabah, JAKIM, serta pelbagai agensi termasuk Polis, Bomba, RTM, Pejabat Daerah Ranau, PGU dan Bahagian Istiadat dan Protokol.
“Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta kejayaan besar. Gunung Kinabalu kini bukan sahaja destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” kata Hajiji.
Beliau menambah, kewujudan monumen itu turut memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim, di samping memperkasakan ilmu falak dalam masyarakat.
“Pelancong Muslim kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, membuktikan bahawa sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kemajuan dapat dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama.
“Monumen ini bukan sekadar menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah — simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah, pasukan teknikal dan semua agensi yang menjayakan projek bersejarah itu sehingga diiktiraf oleh MBOR.






