Oleh Wu Vuide
KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memiliki keupayaan untuk memikul tanggungjawab membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal kukuh dan dominan susulan keputusan STAR dan SAPP keluar daripada gabungan itu.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, parti itu tidak gentar dengan keputusan dua parti berkenaan untuk tidak lagi bersama GRS, sambil menegaskan bahawa PBS telah melalui cabaran politik yang jauh lebih besar.
“Ini adalah demokrasi, namun pada masa sama kestabilan dan perpaduan tidak boleh diabaikan, dan di situlah PBS terus memainkan peranannya,” katanya pada program Mesra Rakyat di Kampung Rungus Panansawa.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, menegaskan bahawa pengaruh PBS dalam GRS berpunca daripada konsistensi, kepimpinan berasas rakyat dan pengalaman mengharungi perubahan lanskap politik.
“Kita telah melalui banyak fasa perubahan, tetapi prinsip kita tetap sama — berkhidmat dengan penuh dedikasi dan mengutamakan rakyat.
“PBS sentiasa menjadi tunjang kestabilan dalam GRS, memastikan gabungan ini dapat memenuhi harapan rakyat Sabah,” katanya sambil menambah PBS terus memainkan peranan penting dalam memastikan GRS kekal utuh dan berwibawa melalui dasar yang berpaksikan rakyat dan realistik.
PBS adalah salah satu daripada enam komponen dalam GRS, selain Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Liberal Democratic Party (LDP), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Sementara itu, Joniston turut bertemu penduduk Kampung Balabakan, di mana beliau merasmikan jalan pertanian baharu di kampung tersebut.
Pertanian kekal sebagai salah satu fokus utama dalam pelan pembangunan berterusan Kiulu yang bertujuan meningkatkan taraf hidup dan infrastruktur untuk komuniti setempat.







