Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Haji Abu Bakar Titingan menyifatkan “gelombang baharu” yang diumumkan parti Warisan sebagai sekadar gelombang kekecewaan daripada segelintir individu yang tamak dan kecewa tidak mendapat jawatan.
Beliau berkata, antara yang menyertai Warisan ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas, Datuk Harun Ismail; Ketua Penerangan PGRS Pantai Manis, Amri Abu Bakar; dan Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong.
“Ini bukan gelombang rakyat, tetapi gelombang individu kecewa. Ada antara mereka yang pernah mendesak mahu menjadi calon, malah mengugut keluar parti apabila kehendak peribadi tidak dituruti,” katanya.
Nizam menegaskan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak akan tunduk kepada politik ugutan dan perebutan habuan.
“Kalau inilah yang mahu disebut sebagai ‘gelombang baharu’ Warisan, maka ia sebenarnya gelombang kecewa dan manusia yang sudah hilang arah,” katanya.

            
		



