Kekalkan momentum perjuangan Madani

SANDAKAN: Siri Jelajah Harapan Urang Sabah yang diteruskan di Karamunting semalam menyaksikan kehadiran luar biasa masyarakat pelbagai kaum, sekali gus menggambarkan sokongan berterusan rakyat Sandakan terhadap perjuangan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Ir. Mustapha Sakmud, berkata sambutan menggalakkan itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap dasar inklusif kerajaan dalam membela nasib rakyat Sabah.
“Kita mulakan di Gum-Gum semalam dan hari ini di Karamunting. Sambutannya amat luar biasa. Ini bukti bahawa rakyat Sandakan mahukan kesinambungan pembangunan dan mahu suara Sabah terus lantang di peringkat nasional,” katanya.
Mustapha turut menyeru rakyat memastikan dua wakil Perdana Menteri berada di Sandakan — seorang di Gum-Gum dan seorang lagi di Karamunting — sebagai simbol kekuatan politik Sabah dalam Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut berkongsi pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pemerintahan, antaranya: Peruntukan pembangunan yang meningkat berkali ganda, peluasan akses pendidikan tinggi dan program TVET, penambahbaikan infrastruktur luar bandar, dan agenda kebajikan rakyat yang lebih menyeluruh.
“Semua ini adalah hasil keberanian politik seorang Perdana Menteri yang benar-benar mahu mengangkat martabat rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan politik yang menimbulkan keraguan, sebaliknya terus menyokong usaha kerajaan membina masa depan Sabah yang lebih makmur.
“Setiap anak muda mesti ada peluang untuk berjaya, setiap keluarga berhak menikmati kehidupan lebih sejahtera, dan setiap daerah perlu mendapat perhatian yang adil,” katanya penuh semangat.
Mustapha menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa perpaduan dan kepercayaan rakyat menjadi kunci untuk membawa Sabah ke tahap lebih tinggi dalam pembangunan negara.

Mustapha Sakmud
BERSAMA MASYARAKAT… Mustapha bersama masyarakat di Sandakan.