PKS sasar wujud hab kewangan baharu Asia jika diberi mandat PRN17

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Parti Kebangsaan Sabah (PKS) berikrar mewujudkan sebuah hab kewangan baharu bertaraf antarabangsa di rantau Asia sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Pemangku Presiden PKS, Dato’ Jismit Japong, berkata inisiatif tersebut antara agenda transformasi ekonomi besar yang akan dilaksanakan bagi melonjakkan Sabah sebagai pusat ekonomi serantau.

Beliau turut mengumumkan perancangan untuk menubuhkan empat kementerian baharu, termasuk Kementerian Pembangunan Sumber dan Galian, bagi memastikan pengurusan aset mineral dan kekayaan bumi Sabah dilakukan secara telus dan terancang.

“Ini antara hala tuju utama PKS selepas menerima mandat rakyat pada PRN17,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Sembulan, semalam.

Tumpuan Kesihatan & Pendidikan: Sebagai komitmen memperkukuh kesejahteraan rakyat, PKS turut merancang membina 25 hospital di setiap kawasan Parlimen, dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri.

Selain itu, PKS berjanji menawarkan pembiayaan yuran pendidikan percuma kepada pelajar anak negeri Sabah bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif.

“Soal kewangan tidak menjadi masalah jika kekayaan Sabah diurus dengan berintegriti. Sabah kaya, tetapi kita kurang pemimpin yang benar-benar telus dan berwawasan,” katanya.

Komposisi Calon & Manifesto: PKS mengesahkan akan bertanding 60 kerusi pada PRN17 dengan formula pemilihan calon melibatkan 40% pemimpin veteran, 30% wanita dan 30% belia.

Senarai calon serta manifesto parti dijangka diumumkan minggu depan.

Jismit menyeru rakyat Sabah memberi peluang kepada PKS untuk membawa perubahan jangka panjang dan kestabilan politik negeri.

Peralihan Kepimpinan:

Pada majlis sama, Jismit menerima pelantikan sebagai pemangku presiden daripada pengasas PKS, Datuk Thomas Anggan.

Thomas berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas Jismit dalam arena politik.

“Pelantikan ini mengikut perlembagaan parti dan RoS. Selepas dimaklumkan kepada RoS, beliau akan memimpin PKS sepenuhnya,” katanya.

Hubungan Dengan Parti Anak Negeri:

Mengulas hubungan dengan Parti Kerjasama Anak Negeri, Jismit berkata pihaknya pernah mencadangkan kerjasama diteruskan namun penggunaan logo PKS tidak dipersetujui.

“Tiada krisis. Kami kekal bersahabat dan meneruskan perjuangan masing-masing. Fokus kami kini adalah mendekati hati pengundi dan membawa mesej jelas melalui PKS,” katanya.

WATIKAH …. Jismit (dua dari kanan) menerima watikah pelantikan sebagai Pemangku Presiden PKS daripada Thomas (tiga dari kanan).