32 ketua cawangan UMNO rayu presiden parti tidak letak ‘calon luar’ di Tempasuk

KOTA BELUD: Kira-kira 32 ketua cawangan UMNO di Tempasuk merayu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak meletakkan calon luar untuk bertanding di DUN Tempasuk dalam pilihan raya umum negeri Sabah 29 November ini.
Jurucakap Azizul Durajib yang juga Ketua Cawangan Taun Gusi Batu 4 berkata majoriti ketua-ketua cawangan UMNO itu mahu calon dipilih daripada kalangan anak jati ahli UMNO Kota Belud.
“Ramai anak jati ahli UMNO Kota Belud berwibawa yang boleh diketengahkan sebagai calon dan tiada keperluan untuk “mengimport” calon luar bertanding di DUN ini,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Sehubungan itu, Azizul berkata satu surat bantahan, menolak calon luar daripada kawasan Kota Belud, yang ditandatangani kesemua 32 ketua cawangan itu telah dihantar kepada Ahmad Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).
Menurutnya surat itu telah dihantar melalui Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Azizul berharap rayuan itu diberi pertimbangan yang sewajarnya demi keutuhan dan kebaikan parti.
Baru-baru ini, akhbar The Star dipetik sebagai berkata bahawa antara tokoh yang dipertimbagkan untuk bertanding di Tempasuk ialah Ketua UMNO Tuaran Datuk Abdul Rahman Dahalan.-JT.

UMNO SABAH