AirAsia perlu tunjuk tanggungjawab sosial terhadap rakyat Sabah pulang mengundi

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini, ribuan anak Sabah yang bekerja dan menetap di Semenanjung kini berdepan kos penerbangan yang tinggi untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata walaupun AirAsia baru-baru ini mengumumkan promosi khas “Jom Balik Undi” dengan tambang serendah RM299 sehala, kadar itu masih dianggap tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Dengan tambang RM299 sehala, kos perjalanan pergi balik Sabah–Semenanjung mencecah hampir RM600 seorang, belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, mampukah rakyat biasa menanggung kos sebanyak itu hanya untuk pulang mengundi?” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika tempoh pandemik COVID-19, yang diluluskan semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Setakat ini, bayaran balik kepada SDB hanya sekitar RM170 juta, bermakna masih ada baki besar yang belum dilunaskan kepada institusi kewangan milik kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa atas dasar moral dan keadilan sosial, AirAsia wajar menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik bagi pengundi Sabah sepanjang tempoh pilihan raya.
“Dari sudut ekonomi dan tanggungjawab korporat, langkah ini bukan sahaja mencerminkan kepekaan sosial, tetapi juga menunjukkan bahawa bantuan dana kerajaan negeri kepada syarikat korporat akhirnya kembali memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar keuntungan,” katanya.
Suhaimi turut menyeru agar Datuk Seri Shafie Apdal tampil menggesa AirAsia menyalurkan subsidi tambang khas kepada rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi.
“Jika dana RM300 juta daripada SDB pernah membantu AirAsia bertahan di waktu sukar, maka menurunkan harga tiket kepada bawah RM300 bagi rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial,” katanya.-JT

Suhaimi Nasir