Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak dilaporkan selamat selepas terlibat dalam insiden membabitkan mesin penghantar barangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan tersepit pada mesin pengimbas manakala kakaknya yang berusia tiga tahun pula terdedah kepada radiasi alat berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.52 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua kanak-kanak dipercayai memasuki kawasan mesin penghantar barangan di ruang pemeriksaan LTAKK.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Kedua-dua kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Likas bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam selepas dipastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.
Sehubungan itu, Mohd Hannis menasihati orang awam, khususnya ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak di kawasan awam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.






