Bilik Gerakan Calon PH N.22 Tanjung Aru mula beroperasi

KOTA KINABALU: Bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, bertekad untuk merapatkan jurang pembangunan di kawasan tersebut dengan memanfaatkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran kerajaan, bagi membawa nafas baharu dalam pembangunan Tanjung Aru agar rakyat menikmati kemajuan yang lebih setara, makmur, dan inklusif.
Menurut Chan, meskipun Tanjung Aru terletak di bawah kawasan Parlimen Putatan, namun dari segi sosioekonomi dan kehidupan rakyat, kawasan ini sebenarnya lebih dekat dengan Kota Kinabalu dan menjadi sebahagian penting daripada wilayah Greater Kota Kinabalu.
“Di sini terdapat pelbagai bangunan moden dan lokasi utama seperti pusat membeli-belah, resort mewah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Namun di sebalik kemajuan ini, masih wujud komuniti yang serba kekurangan dan memerlukan perhatian serius. Sudah tiba masanya Tanjung Aru perlu mempunyai seorang wakil rakyat yang berupaya memperjuangkan pembangunan seimbang untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, lawatan ke Pulau Gaya dan Sembulan baru-baru ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menaik taraf infrastruktur dan memperkukuh kesejahteraan penduduk, memandangkan wujud jurang ketara antara kawasan lama dan baharu.
“Sekiranya saya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam pilihan raya kali ini, saya mampu menjadi penghubung yang efektif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Matlamat saya adalah untuk memastikan penyampaian dan penyelarasan dasar berjalan lancar agar manfaat pembangunan benar-benar dirasai rakyat Sabah — khususnya di Tanjung Aru,” ujarnya.
Beliau yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Kota Kinabalu, telah diumumkan sebagai bakal calon oleh Setiausaha Agung DAP Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, dalam majlis pengumuman calon pada pagi semalam.
Pada hari yang sama, Chan dan pasukannya terus mengadakan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan N.22 Tanjung Aru pada waktu petang, menandakan permulaan rasmi jentera kempen beliau.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri MITI merangkap Pengarah Strategi DAP Malaysia, Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, serta Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong. Kehadiran kira-kira 250 penyokong menyerikan suasana majlis dengan semangat yang tinggi.

BILIK GERAKAN …. Chan melancarkan Bilik Gerakan Pakatan Harapan N.22 Tanjung Aru pada hari yang sama selepas diumumkan sebagai calon, menandakan permulaan rasmi jentera kempen beliau.