KOTA KINABALU: Parti Kebangsaan Sabah (PKS) yakin dapat membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Umum Sabah memandangkan manifesto yang digarisakan memberikan kesejahteraan dan manfaat yang lebih baik untuk rakyat Sabah.
Presiden PKS Datuk Jismit Japong berkata, antara manifesto berkenaan adalah memperkenalkan harga bahan api istimewa RM1 seliter bagi kedua-dua petrol dan diesel sebaik sahaja PKS membentuk kerajaan.
Melaksanakan pendidikan percuma dari peringkat tadika hingga universiti; pembiayaan khas untuk usahawan Sabah; membina hospital milik kerajaan Sabah di setiap kawasan parlimen yang dilengkapi dengan kemudahan moden; pembinaan antara 500 dan 1000 unit rumah bagi setiap parlimen setahun.
Bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 sebulan untuk rakyat Sabah yang tiada pendapatan tetap; pembangunan kemudahan pengangkutan moden seperti kereta api laju, LRT dan monorel; sebuah syarikat penerbangan milik kerajaan Sabah; dan pemprosesan permohonan hak milik tanah yang pantas.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran jentera pilihan raya PKS, yang turut dihadiri hampir 600 penyokong parti, di Hotel Raia, Sembulan dekat sini pada Ahad.
Jismit juga berkata terdapat 16 menteri dan 32 timbalan menteri dalam kerajaan yang akan ditubuhkannya, dan beliau merancang untuk memperkenalkan empat kementerian baharu.
Kementerian baharu itu ialah Kementerian Sumber Mineral, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perubatan dan Kementerian Hal Ehwal Korporat.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa parti itu berhasrat untuk menghalang parti bukan berasaskan Sabah daripada menyertai politik negeri, menekankan bahawa masa depan Sabah harus ditentukan oleh kepimpinan tempatan.
“Sabah sudah sekian lama ditadbir parti bukan berasaskan Sabah menyebabkan negeri ini terus ketinggalan daripada arus pembangunan dan rakyat kekal berada ditahap kemiskinan. Justeru, sudah tiba masanya rakyat memilih kerajaan baharu, iaitu PKS ke arah perubahan kepimpinan negeri Sabah,” katanya.








