Datang sebagai guru, kembali sebagai calon

Dr Azlan Shafie bawa harapan baharu ke Pulau Banggi

BANGGI: Dari bilik darjah ke gelanggang politik, Dr Azlan Shafie @ Raymond Majumah kembali ke Pulau Banggi bukan lagi sebagai pendidik, tetapi sebagai calon yang membawa aspirasi baharu kepada masyarakat yang pernah beliau dampingi dan dididik selama lebih tiga dekad.
Dr Azlan, yang bersara sebagai penjawat awam pada September 2024, berkata ilham untuk bertanding hadir melalui dorongan mantan anak-anak muridnya sendiri.
“Saya sering berjumpa mereka, dan apabila mereka tahu saya sudah bersara, mereka mula mendesak saya untuk bertanding. Sokongan itu kuat dan ikhlas,” katanya.
Namun, perjalanan sebagai calon tidak mudah. Menurutnya, urusan mendapatkan permit ceramah di IPD Kudat memerlukan perjalanan ulang-alik dari Pulau Banggi setiap tiga hari, sekali gus mengganggu jadual kempen.
“Ia memenatkan dan banyak aktiviti terpaksa diketepikan kerana urusan permit,” katanya.
Kempen dalam talian turut mencabar apabila beliau terpaksa mengaktifkan semula akaun Facebook dan WhatsApp untuk menyampaikan mesej politik. Keadaan bertambah sukar apabila hujan lebat dan banjir besar melanda Kampung Sabur pada hari ketiga kempen, menyebabkan jambatan utama putus.
“Penduduk Kampung Tembising tidak dapat hadir ke ceramah saya kerana jambatan runtuh sehari sebelumnya. Walaupun begitu, mereka tetap menunggu saya setiap hari dengan penuh harapan,” jelasnya.
Dr Azlan bukan asing di Sabur. Beliau pernah berkhidmat di kawasan itu sebagai guru dan penjawat awam, dan kedatangannya kali ini sebagai calon disambut dengan keterujaan penduduk.
“Dulu saya datang ke Sabur atas tuntutan tugas. Kini saya kembali sebagai pemimpin yang mereka nantikan,” katanya.
Beliau turut mengimbau pengalaman 33 tahun lalu ketika mula bertugas di Banggi, termasuk belajar bahasa Bonggi, Ubian, Suluk, Kagayan dan Bajau Sama.
“Saya melihat sendiri kedaifan hidup mereka — kesukaran untuk ke tanah besar, ketiadaan feri dan cabaran ombak besar. Saya pernah bersama mereka menjalani kehidupan seharian, dan saya tahu keperluan mereka yang mendesak,” katanya.
Gambar-gambar kempen yang dihantar kepada Presiden Parti Kebangsaan Sabah turut mendapat respons positif, sekali gus menguatkan keyakinan terhadap perjuangannya yang berakar daripada pengalaman dan hubungan rapat dengan masyarakat tempatan.
Jika diberikan mandat, Dr Azlan berhasrat memajukan Pulau Banggi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa melalui pembangunan pusat-pusat pelancongan, pembinaan klinik kesihatan, pewujudan kilang yang menawarkan peluang pekerjaan, penubuhan institusi budaya dan bahasa etnik, pembangunan sebuah universiti serta mercu tanda baharu yang meraikan identiti pulau terbesar di Malaysia itu.

KEMPEN… Dr Azlan Shafie ketika menghadiri majlis kempen di Kg Sabur.