KOTA KINABALU: “Hari ini rasa macam selebriti pula,” gurau calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Razali Razi, apabila dikerumuni pengundi yang mahu berswafoto ketika beliau hadir membuang undi di Sekolah Agama Negeri (SAN) Likas, tengah hari kelmarin.
Razali tiba di pusat pengundian pada jam 12.10 tengah hari dan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi kira-kira jam 12.20 tengah hari menerusi saluran 3.
Mengulas suasana yang meriah, Razali berkata, beliau tidak menyangka sambutan yang diterima begitu hangat sehingga ramai pengundi menghampirinya untuk bergambar.
“Rasa macam artis pula, selebriti, semua orang mahu bergambar. Jadi kalau mahu bergambar baguslah, ada positif respon,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menyatakan bahawa suasana sama dirasai di Darau sejak awal pagi, apabila ramai penduduk datang memberikan kata-kata semangat, berjabat tangan dan meminta gambar kenangan.
Mengulas baki masa pengundian yang tinggal beberapa jam sahaja lagi, Razali menyeru pengundi untuk tidak menangguh keputusan mereka hari ini.
“Lima tahun sekali. Kalau sejam pun kita perlu turun, turunlah. Ini tanggungjawab kita sebagai rakyat,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa masa depan pentadbiran lima tahun akan datang ditentukan melalui undi hari ini.
“Jangan fikir banyak lagi. Kalau terlepas hari ini, kena tunggu lima tahun lagi untuk pilih pimpinan baharu,” katanya.-JT







