Warisan akan terus main peranan

Sebagai pembangkang bertanggungjawab, kata Mohd Shafie

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab atau bekerjasama secara dasar sekiranya diperlukan demi memastikan kepentingan rakyat Sabah kekal menjadi keutamaan.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan parti itu tidak mahu politik yang mengelirukan rakyat. Apa yang penting ialah kestabilan negeri dan memastikan mandat rakyat dihormati.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di Kolombomg, dekat sini, pada Ahad.
Ditanya sama ada parti itu ada mengadakan sebarang perjumpaan atau rundingan dengan mana-mana parti politik bagi membentuk kerajaan negeri selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah diumumkan malam Sabtu.
“Tidak ada” katanya, dan menegaskan dakwaan kononnya wujud pertemuan sulit adalah tidak berasas dan hanya spekulasi politik.
“Tumpuan Warisan ketika ini ialah menghormati keputusan rakyat serta memastikan proses peralihan kuasa berjalan secara teratur.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pertemuan rasmi antara parti-parti politik akan hanya dilakukan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan datang, bukan melalui gerakan di belakang tabir.
“Kita akan bertemu semua parti nanti dalam sidang DUN, itu platform yang sah.
“Tidak ada perjumpaan atau rundingan membentuk kerajaan seperti yang didakwa,” katanya.
Kenyataan Shafie itu sekali gus cuba meredakan spekulasi politik yang berlegar sejak keputusan pilihan raya diumumkan, ketika tumpuan kini beralih kepada pembentukan barisan Kabinet negeri serta hala tuju kerajaan Sabah yang baharu.
Awal pagi Ahad, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, selepas blok politik dipimpinnya memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Upacara angkat sumpah itu menandakan terbentuknya kerajaan negeri yang baharu, sementara parti-parti lain kini menilai langkah susulan dalam landskap politik pasca pilihan raya.

SIDANG MEDIA …. Mohd Shafie diringi wakil rakyat dan pemimpin Warisan dalam sidang media.