SPnCA bakal raih perhatian antarabangsa

Menerusi buku panduan pelancongan Regeneratif ASEAN

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kawasan Konservasi Sungai Pin (SPnCA) bakal meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila SPNCA dipilih sebagai salah satu kajian kes dalam ASEAN Handbook on Regenerative Tourism yang dijangka diterbitkan tidak lama lagi.
Pemilihan itu dilihat sebagai pengiktirafan penting terhadap model pelancongan berasaskan konservasi yang dilaksanakan di Sabah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju pelancongan bertanggungjawab di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green Sdn Bhd, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata pemilihan SPnCA membuktikan usaha Sabah menggabungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pelancongan lestari semakin mendapat perhatian para pakar antarabangsa.
Beliau menyatakan penghargaan atas pemilihan tersebut susulan lawatan daripada Uni-Technologies Sdn Bhd, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta sebelum ini daripada Jabatan Perhutanan Sabah.
“Buku panduan ini akan diedarkan kepada negara-negara ASEAN serta rakan antarabangsa. Pemilihan SPnCA bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga peluang bagi Sabah berkongsi kisah kejayaan konservasinya kepada dunia,” katanya.
Menurut Philipa, SPnCA kini menjadi contoh utama dalam pemulihan hutan, penyelidikan serta pelancongan berasaskan komuniti, sekali gus membuktikan bahawa landskap perladangan sawit juga mampu menyokong pemeliharaan biodiversiti apabila diurus secara bertanggungjawab.
“Pelancongan regeneratif bukan sekadar menarik kehadiran pelawat, tetapi memastikan lokasi pelancongan menjadi lebih baik selepas dikunjungi. SPnCA membuktikan bahawa kawasan pengeluaran turut boleh mengekalkan biodiversiti yang sihat,” jelasnya.
Beliau berkata Sawit Kinabalu, syarikat induk SKG Green, sejak dahulu memberi keutamaan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan aset alam semula jadi.
“Lawatan ini menyokong usaha serantau yang selaras dengan visi kami untuk memperkukuh pelancongan berasaskan konservasi dan penyertaan komuniti. Kami berharap perkongsian maklumat ini dapat membantu menghasilkan buku panduan ASEAN yang lebih bermakna dan berimpak,” katanya.
Dalam ucapan berasingan sempena lawatan Jabatan Perhutanan Sabah yang diketuai Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, beliau menegaskan hubungan kerjasama jangka panjang antara Sawit Kinabalu dan Jabatan Perhutanan Sabah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada 2017.
MoU tersebut membuka ruang kepada penubuhan SPnCA seluas 2,632 hektar, yang diperuntukkan secara sukarela oleh Sawit Kinabalu sebagai zon konservasi dalam kawasan perladangannya.
“SPnCA bukan sekadar kawasan hutan, tetapi koridor hidupan liar penting yang menjadi laluan hijau bagi spesies seperti orang utan dan monyet belanda.
“Kerjasama ini terbina atas asas tanggungjawab bersama, berpandukan sains dan diperkukuh dengan kepercayaan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Philipa turut memaklumkan bahawa SKG Green telah menterjemahkan MoU tersebut kepada tindakan nyata, termasuk menanam lebih 500,000 pokok serta membangunkan pelan pengurusan rasmi dengan bimbingan teknikal Jabatan Perhutanan.
“Sumbangan kepakaran pasukan Jabatan Perhutanan amat penting bagi memastikan program kami selari dengan keutamaan konservasi negeri. Anugerah Partners for Conservation yang kami terima awal tahun ini juga merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan bersama,” katanya.
Beliau berharap lawatan itu dapat mengeratkan lagi kerjasama sedia ada serta membuka lebih banyak peluang bagi inisiatif bersama pada masa depan.
“Ketika kami berusaha menjadikan SPnCA sebagai contoh pelancongan regeneratif peringkat serantau, kerjasama tetap menjadi kekuatan utama kami,” katanya.

CENDERAMATA ….. Philipa (lima dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada para tetamu dari Uni-Technologies Sdn Bhd, UTM dan MOTAC.