Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, membangkitkan persoalan mengenai peranan berterusan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menstabilkan bekalan elektrik di Sabah.
Dalam pertanyaan bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, beliau meminta penjelasan berhubung fungsi Kerajaan Persekutuan selepas urusan pengurusan bekalan tenaga diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam jawapan bertulis memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan pemberian subsidi elektrik kepada Sabah sehingga tahun 2030.
Menurut PETRA, jumlah siling indikatif subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bagi tempoh 2024 hingga 2030 ialah RM3.54 bilion. Jumlah itu merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif serta subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT).
Anggaran tersebut dibuat berdasarkan analisis Suruhanjaya Tenaga sekiranya Kerajaan Negeri melaksanakan pelarasan tarif dalam tempoh tersebut.
PETRA menjelaskan bahawa subsidi berkenaan perlu dipohon Sabah Electricity melalui Kerajaan Negeri Sabah dan tertakluk kepada rundingan serta kelulusan Kementerian Kewangan.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa semua pelan pembangunan penjanaan elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek, termasuk penyelesaian isu berkaitan bekalan elektrik di Sabah, adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sejak penyerahan rasmi pada 3 Januari 2024.
Bagi menyokong Sabah dalam fasa peralihan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menyalurkan peruntukan pembangunan projek bekalan elektrik negeri bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) melalui kaedah pinjaman, mengikut permohonan Rolling Plan (RP) yang dikemukakan menerusi PETRA.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan projek pembinaan dan penaiktarafan talian penghantaran serta pengagihan elektrik bagi meningkatkan kestabilan bekalan melalui Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).
Projek yang telah siap diserahkan kepada Kerajaan Negeri melalui Sabah Electricity untuk dimiliki dan dioperasikan.
Setakat 2024, tujuh projek telah disiapkan dan diserahkan, merangkumi tiga projek menaik taraf talian penghantaran, tiga projek talian pengagihan serta satu projek sistem pemantauan dalam talian bagi bekalan elektrik Sabah dan Labuan.
“Kerajaan Persekutuan kekal komited menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah demi memastikan rakyat menikmati bekalan yang lebih stabil dan terjamin,” kata PETRA.

Madius Tangau






