Peningkatan standard industri beri manfaat pembangunan negeri – Ewon
Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak sektor swasta yang mampu meningkatkan standard industri sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata sebagai peneraju kementerian, beliau komited memberi perhatian serta respons terhadap isu yang dibangkitkan para pemain industri.
“Komitmen saya, komitmen kerajaan dan kementerian adalah untuk terus membangunkan satu ekosistem keusahawanan yang mesra PKS, mesra pelabur, mesra usahawan dan mesra semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan MyRoof Hub, pusat sehenti penyelesaian bumbung pertama di Sabah yang bertujuan meningkatkan akses, kualiti dan profesionalisme dalam industri pembinaan di negeri ini.
Ewon berkata inisiatif seperti MyRoof Hub seiring dengan keutamaan kementeriannya, termasuk menaik taraf industri, memodenkan rantaian bekalan, menyokong inovasi PKS, serta menggalakkan penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi dan mampan.
Menurutnya, dalam taklimat kementerian semalam, beliau turut menggariskan wawasan penubuhan Sabah First Team bagi membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih baik untuk negeri ini.
“Walaupun ekosistem sedia ada sudah baik, masih terdapat ruang untuk kita menambah baik. Fokus kedua ialah untuk kita berganding bahu dengan pemain industri bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan usahawan serta sektor industri di Sabah,” katanya.
Beliau menambah, kementerian bersama agensi di bawahnya juga perlu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan supaya para pemain industri, PKS, pelabur dan peniaga merasakan kementerian benar-benar dekat dengan mereka.
“Inilah ekosistem Sabah First yang ingin saya terapkan. Selepas lima tahun saya memimpin, rakyat Sabah berhak menilai sama ada saya memenuhi aspirasi mereka atau sebaliknya,” katanya.
Ewon turut menegaskan bahawa pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan pemegang taruh adalah penting bagi memahami realiti industri, yang seterusnya membantu kerajaan merangka dasar lebih tepat serta menetapkan hala tuju pembangunan yang lebih jelas.

Ewon ketika berucap pada majlis pelancaran MyRoof Hub.







