Lima kenderaan disita, 20 saman dikeluarkan dalam operasi di Lahad Datu

Oleh FARDY BUNGGA
LAHAD DATU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengeluarkan 20 saman dalam operasi sekatan jalan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam itu turut menyita sebuah kereta Proton Wira selepas dikesan melakukan kesalahan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata operasi dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, operasi berkenaan menumpukan beberapa lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengguna jalan sekitar bandar Lahad Datu.
“Antara kawasan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo.
“Sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos serta ubah suai struktur peralatan,” katanya dalam kenyataan.
Dzulbaharin berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menyita sebuah motokar dan empat motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Dzulbaharin menegaskan, sepanjang operasi berkenaan, seramai 18 individu dan 14 kenderaan diperiksa.
Katanya, empat sesi advokasi keselamatan jalan raya turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi keselamatan bersama,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulbaharin turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa.

OPERASI …. Pemeriksaan dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan yang dikenalpasti.