Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Satu Task Force Bersepadu telah ditubuhkan bagi menangani secara menyeluruh pelbagai isu berkaitan pelancongan di Semporna yang memberi kesan langsung terhadap imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin berkata Task Force berkenaan akan dikawal selia oleh Pembantu Menteri KePKAS, Dr Andi Rizal, dengan laporan kemajuan dikemukakan kepadanya setiap dua minggu.
“Langkah ini bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat berfokus, berperingkat serta berakauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Jafry, objektif utama penubuhan Task Force itu adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan di Semporna secara tuntas dan berstruktur, bukan sekadar bersifat reaktif, sebaliknya melalui pendekatan sistemik yang menyelaras peranan, bidang kuasa serta penguatkuasaan antara agensi berkaitan.
Beliau berkata, penubuhan Task Force itu amat penting memandangkan antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah ketidakselarasan punca kuasa antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah.
“Selain itu, isu struktur tidak berlesen atau haram, aspek keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan turut memerlukan perhatian segera,” katanya.
Jafry menjelaskan pendekatan yang diambil adalah berteraskan prinsip ‘sit down together, we can work together’ dengan penglibatan pelbagai agensi utama termasuk MOTAC, agensi penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sabah), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, ESSCOM, Tourism Malaysia Sabah, Pejabat Daerah Semporna, Taman-Taman Sabah serta agensi berkaitan lain.
“Hasrat kita jelas, iaitu untuk menyelesaikan masalah. Task Force ini diwujudkan bagi membina sistem tadbir urus pelancongan yang lebih tersusun, selamat dan berintegriti,” katanya.
Beliau turut menegaskan penubuhan Task Force itu juga bertujuan memastikan MOTAC mempunyai asas yang kukuh dalam mempertahankan peranan kawal selia industri pelancongan.
Jafry berkata kegagalan menangani isu-isu berkenaan akan memberi kesan besar terhadap sektor pelancongan Sabah secara keseluruhan, justeru semua pihak diminta memberikan komitmen penuh demi kepentingan industri dan rakyat.
“Sebagai langkah segera, tindakan ad hoc Task Force bermula hari ini termasuk sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di Semporna.
“Saya sendiri akan turun padang bagi memastikan isu-isu ini dapat disusun dan ditangani secara praktikal,” katanya.
Menurutnya, perkara-perkara yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan dengan pendekatan lebih bersepadu, tegas dan berorientasikan penyelesaian bagi memastikan industri pelancongan Semporna kembali stabil dan mampan.

Jafry Ariffin




