Oleh FARDY BUNGGA
SANDAKAN: Dua remaja yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir Bandar Sejati Walk, Batu 7, di sini, pagi kelmarin, disahkan tiada kaitan unsur jenayah atau sangkaan khianat.
Kedua-dua mangsa berusia 18 dan 17 tahun itu yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam pada jam 8.26 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan dua mayat di kereta Perodua Axia.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dan seorang perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik IPK Sabah telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Kedua-dua mangsa ditemui berada dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua tingkap kenderaan tertutup rapat dan berkunci dan tiada kehilangan barang berharga dilaporkan.
Katanya, siasatan turut mendapati kedua-dua mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga sejak Jumaat lalu sebelum bapa kepada salah seorang mangsa menemui kenderaan miliknya di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh kedua-dua si mati mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan setakat ini siasatan awal polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah atau sangkaan khianat,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, Ramasamy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

SIASATAN …. Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.








