KPSTI fokus naik taraf sekolah daif di seluruh Sabah

KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) — Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah akan menumpukan kepada menarik taraf sekolah daif bagi memastikan keselesaan dan keselamatan murid serta guru di negeri itu sentiasa terjamin.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk James Ratib berkata sekolah daif berskala enam dan tujuh memerlukan perhatian segera kerana melibatkan aspek keselamatan dan kelangsungan proses pembelajaran murid serta kesejahteraan warga pendidik.
“Sekolah daif bukan sekadar isu bangunan. Ia adalah isu maruah pendidikan, keselamatan murid dan guru, serta keadilan sosial. Kita komited untuk menjadi suara tegas di peringkat negeri dan Persekutuan selain menyediakan data yang tepat dan terkini.
“Selain itu, kita juga akan memastikan setiap projek pembaikan dan pembinaan dilaksanakan dengan berintegriti, telus dan berimpak tinggi,” katanya selepas menyampaikan amanah kepada warga kementeriannya di Pusat Konvensyen Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama  Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Jordan Jude Ellron.
James berkata terdapat kira-kira 300 buah sekolah daif dikenal pasti, dan memberi jaminan penyelesaian akan dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempergiatkan pelaksanaan pembangunan pendidikan di negeri ini.
Menurut beliau kolaborasi erat antara penjawat awam persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan cepat, tepat dan teratur selain menyelesaikan permasalahan pembangunan khususnya di Sabah.
“Hubungan kerja yang baik serta sikap saling menghormati antara pegawai persekutuan dan negeri perlu diperkukuh supaya semua cadangan pembangunan dapat direalisasikan dengan berkesan, khususnya di Sabah yang masih berdepan cabaran prasarana,” katanya.

JAMES RATIB

James (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan anggota perkhidmatan awam di bawah KPSTI.