Dalam pemilihan UPKO 2026
Oleh JOHN TAMBANANKOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, mengumumkan kesediaannya untuk menawarkan kesinambungan kepimpinan dengan mempertahankan jawatan Presiden parti itu bagi penggal seterusnya dalam pemilihan UPKO 2026.
Menurutnya, tahun ini menandakan fasa kritikal kitaran demokrasi parti apabila pemilihan akan dilaksanakan di semua peringkat, selaras dengan peruntukan Perlembagaan UPKO, menerusi Kongres Parti yang dijadualkan berlangsung pada 8 dan 9 Ogos depan.
“Ahli-ahli mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memastikan proses demokrasi parti berjalan secara telus, tersusun dan berintegriti di semua peringkat.
“Saya berharap pemilihan ini menjadi platform penyatuan, bukannya perpecahan. Kita perlu memilih barisan kepimpinan berasaskan merit, potensi dan keupayaan untuk menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat — kepimpinan yang bekerja untuk rakyat dan memimpin bersama rakyat,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di sini, kelmarin.
Ewon secara terbuka mengakui bahawa kepimpinan UPKO di bawah terajuannya bukan tanpa kelemahan, namun menegaskan komitmen berterusan untuk memperbaiki dan memperkukuh parti dari semasa ke semasa.
“Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah lalu telah menzahirkan keperluan mendesak untuk memperkemaskan jentera parti di semua peringkat, khususnya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kemenangan tidak boleh dibina atas keinginan semata-mata, sebaliknya memerlukan jentera akar umbi yang mantap, berfungsi dan berdaya saing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua Bahagian yang berhasrat menyertai PRU akan datang agar memanfaatkan Persidangan Perwakilan Tritahunan tahun ini sebagai medan memperkukuh cawangan-cawangan serta jawatankuasa pimpinan peringkat DUN.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan Parti bagi memperkukuh institusi kepimpinan Dewan Undangan Negeri, maka usaha itu wajar digerakkan secara kolektif dengan sokongan semua Bahagian,” katanya.
Ewon turut menegaskan hasrat UPKO untuk memperkasa institusi Wakil-Wakil Rakyat parti agar lebih berperanan dalam pembentukan dasar, termasuk memperkukuh fungsi Majlis Penasihat serta Pengarah Pilihan Raya Parti.
“Wakil-Wakil Rakyat UPKO adalah wajah dan suara utama parti. Mereka mesti berada di barisan hadapan kepimpinan dan perkhidmatan, menjadi duta nilai serta cerminan integriti parti. Justeru, seluruh barisan kepimpinan perlu bebas daripada sebarang unsur kontroversi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengulangi kepentingan mempelbagaikan kekuatan jentera parti melalui pelaksanaan inisiatif ‘Satu Bahagian, Satu Persatuan, Satu Koperasi, Satu Success Story’, selain memperbanyakkan penganjuran pemukiman, forum dan konvensyen yang mendukung agenda serta wawasan Sabah First.
Ewon turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu, namun menegaskan bahawa penubuhan cawangan dan bahagian baharu perlu melalui proses penjiwaan serta penghayatan perjuangan parti sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun sebelum diperakukan oleh Majlis Tertinggi.

ALBUM …. Ewon bersama para kepimpinan UPKO merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.






