Victor sampaikan sumbangan RM2,000 kepada PVATM Tambunan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tambunan, sebagai manifestasi sokongan berterusan terhadap kebajikan para veteran.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan sempena kunjungan hormat PVATM Tambunan yang diketuai Ketua Cawangannya, Oliver Olang, bersama sembilan ahli Jawatankuasa, di pejabat Victor di sini, pada Selasa.
Victor yang juga Penaung PVATM Tambunan berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu membiayai aktiviti serta memperkukuh aspek kebajikan ahli-ahli persatuan.
Menurutnya, PGRS Tambunan sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan besar para veteran yang menjadi tunjang keselamatan serta kedaulatan negara sejak dahulu hingga kini.
“Berasaskan nilai dan tradisi menghargai pejuang negara, PGRS Tambunan akan terus memberi fokus kepada usaha memperkasa kebajikan veteran melalui kerjasama strategik bersama pertubuhan berkaitan.
“Komitmen kami kekal jelas untuk memperjuangkan perpaduan, kebajikan rakyat dan pembangunan mampan di daerah Tambunan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, sempena kunjungan hormat berkenaan, PVATM Tambunan turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Victor atas pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd.
Kunjungan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat muhibah, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan masyarakat, para veteran dan parti politik yang berpaksikan kebajikan rakyat serta kesinambungan nilai perjuangan.

ALBUM …. Victor (duduk) merakam gambar kenangan bersama Oliver dan ahli Jawatankuasa PVATM Tambunan semasa kunjungan hormat tersebut.