Tawau tanah paling subur, berpotensi hab pertanian Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


TAWAU: Tawau mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pertanian utama di Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang diiktiraf antara terbaik di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom, sekali gus memberi kelebihan strategik kepada pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi dan inovasi.
“Untuk makluman, kawasan paling subur di Sabah ialah Tawau dan diikuti Tenom. Dengan kemajuan teknologi serta penggunaan bahan tanaman baharu, kita yakin sektor pertanian di Tawau dan Sabah secara keseluruhan akan terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, kelmarin.
Pameran yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari itu melibatkan penyertaan 50 gerai dan berfungsi sebagai platform penting bagi mempamerkan teknologi, inovasi serta produk baharu dalam sektor pertanian dan perikanan di daerah ini.
Jamawi berkata, pameran berkenaan menampilkan pelbagai teknologi terkini berkaitan pertanian dan perikanan, selain produk makanan baharu yang dihasilkan menerusi bimbingan kementeriannya serta Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan.
“Hari ini kita merasmikan pameran pertanian dan akuakultur bagi Parlimen Tawau dengan penyertaan 50 gerai, yang kebanyakannya mempamerkan teknologi serta perkembangan terkini dalam bidang pertanian dan perikanan,” katanya.
Menurut beliau, pameran itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk baharu hasil sokongan serta program bimbingan agensi kerajaan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua usahawan dan penggiat industri pertanian serta perikanan di Tawau kerana berkongsi kejayaan, produk dan teknologi yang dihasilkan di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi menekankan potensi tanaman baharu, khususnya varieti avokado QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau.
“Varieti ini dahulunya dikenali sebagai QAV1 dan mulai Ogos tahun lalu, ia dinamakan semula sebagai Avocado Quoin Sabah untuk dipromosikan di bawah Jabatan Pertanian,” katanya.
Beliau berkata, avokado varieti berkenaan mempunyai kualiti setanding, malah lebih baik berbanding varieti import dari luar negara, sekali gus berpotensi besar untuk pasaran eksport.
“Hasilnya berkualiti tinggi, rasanya lemak, manis dan berkrim dengan purata berat sekitar 500 gram sebiji. Tempoh masaknya kira-kira seminggu selepas dituai dan sesuai untuk pasaran eksport kerana jangka hayat simpanan yang lebih lama,” katanya.
Jamawi berkata, permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat, namun bekalan semasa masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran.
“Baru-baru ini, sebuah syarikat memohon satu kontena avokado sebulan dan lima kontena nanas MD2, namun setakat ini Sabah hanya mampu mengeluarkan kira-kira dua kontena sebulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Pertanian menyediakan benih serta bahan tanaman bagi membantu petani dan menggalakkan penglibatan lebih ramai masyarakat dalam sektor pertanian, termasuk melalui pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur.
“Bagi mereka yang belum bermula, mulakan secara kecil-kecilan melalui Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini, lengkap dengan pakej permulaan aktiviti pertanian di sekitar rumah,” katanya.
Menurutnya, selepas petani yakin dengan potensi pulangan, mereka boleh memohon bantuan penuh daripada Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan.
Jamawi berkata, walaupun varieti avokado QAV1 berasal dari Tawau, keluasan tanaman di daerah itu masih rendah, iaitu kurang daripada 10 hektar berbanding Keningau dan Tenom yang mencatatkan keluasan tanaman lebih besar.
“Kita menggalakkan lebih ramai masyarakat di Tawau menanam avokado QAV1 kerana kesesuaiannya sememangnya di kawasan ini,” katanya.

RASMI …. Jamawi menyempurnakan perasmian Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026).