Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik pengambilan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS), yang disifatkan sebagai langkah strategik bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar susulan pertambahan murid sekolah rendah bermula tahun hadapan.
Presidennya, Murkam Hj Hussien, berkata pengambilan itu amat bertepatan dengan keputusan kerajaan membenarkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela, yang dijangka meningkatkan jumlah murid di sekolah.
“KGKS menjangkakan pertambahan ketara bilangan murid berikutan kemasukan serentak kanak-kanak enam dan tujuh tahun ke Tahun Satu pada tahun hadapan.
“Oleh itu, penambahan bilangan guru adalah satu keperluan mendesak. Justeru, KGKS menyokong penuh usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini demi kelangsungan ekosistem pendidikan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Murkam turut menyifatkan langkah KPM itu sebagai mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda pendidikan negara secara inklusif dan mampan.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, memaklumkan bahawa permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara lantikan kontrak akan dibuka mulai 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru di seluruh negara.
Menurut beliau, hebahan rasmi pengambilan tersebut akan dibuat pada 23 Februari, manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Beliau berkata, inisiatif pengambilan guru secara besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain menyokong dasar kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela.
Dalam pada itu, Murkam berharap rakyat tempatan Sabah yang berkelayakan dapat merebut peluang berkenaan, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkasa sistem pendidikan negara.

Foto: Murkam Hj Hussien.








