KPDN terima 33,400 aduan penipuan atas talian sejak 2023

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sebanyak 136,082 aduan merangkumi pelbagai kategori sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, menurut statistik terkini kementerian itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata daripada jumlah tersebut, 83,239 aduan berada di bawah bidang kuasa KPDN.
“Daripada keseluruhan aduan itu, kategori tertinggi melibatkan dakwaan penipuan atas talian dengan jumlah sebanyak 33,400 aduan,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Parlimen kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Dato’ Rosol Wahid, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, yang meminta kementerian menyatakan jumlah kes penipuan atau scam melibatkan transaksi jual beli sejak 2023 hingga kini, tindakan mahkamah yang telah diambil serta jenis hukuman yang dikenakan.
Armizan berkata, antara aduan yang sering diterima termasuk isu harga barang atau perkhidmatan yang mengelirukan, kegagalan menerima barangan atau perkhidmatan, barangan diterima tidak seperti ditawarkan, cetak rompak dalam talian, penjualan barangan tiruan serta penajaan skim piramid secara dalam talian.
Menurut beliau, kes penipuan atau scam yang melibatkan transaksi jual beli boleh disiasat di bawah beberapa kerangka perundangan bergantung kepada jenis dan kategori kesalahan.
“KPDN mempunyai bidang kuasa untuk memantau dan menyiasat sebarang bentuk representasi palsu, mengelirukan atau memperdaya dalam aktiviti perniagaan yang menjejaskan pengguna,” katanya.
Antara peruntukan undang-undang yang digunakan ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500).
Armizan berkata, bentuk hukuman berbeza mengikut kesalahan dan peruntukan undang-undang yang terlibat.
“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,136 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan di bawah Akta 599, Akta 730, Akta 500, Akta 71 dan Akta 723, dengan jumlah kompaun keseluruhan RM880,625,” katanya.
Tambah beliau, bagi kes di bawah Akta 599, dua kes telah didakwa di mahkamah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 12, iaitu gambaran mengelirukan mengenai harga, dengan jumlah denda keseluruhan RM16,500.
Sehubungan itu, KPDN menyeru orang ramai agar terus berperanan sebagai “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan menyalurkan aduan rasmi yang lengkap bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan segera.
Saluran aduan yang disediakan termasuk WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800, serta Aplikasi Ez ADU KPDN.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan kepentingan pengguna terus terpelihara, di samping memastikan peniaga kekal patuh kepada undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Armizan Mohd Ali