Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Menjelang ketibaan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac depan, sepanjang tempoh Ramadan tahun ini.
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, operasi berkenaan memberi fokus kepada pemeriksaan dan pemantauan yang lebih kerap serta bersasar terhadap bekalan dan harga barangan keperluan yang menjadi tumpuan rakyat sepanjang musim perayaan.
Menurut beliau, antara barangan yang dipantau termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.
“Langkah ini bagi memastikan setiap barangan yang dijual mempunyai tanda harga, tidak berlaku pencatutan dan barangan kawalan dijual mengikut harga yang telah diwartakan kerajaan.
“Ia turut meliputi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026, termasuk pemantauan ke atas premis yang mengadakan jualan murah supaya tiada iklan mengelirukan pengguna, selain pemantauan di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi membanteras penjualan barangan tiruan serta aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan Burger King Benoni Drive-Thru dan menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina di Parklane City Benoni, di sini, kelmarin.
Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis merangkap Pengerusi Sedcovest Sdn Bhd, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir; Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam; Ketua Pegawai Eksekutif Cosmo Restaurant Sdn Bhd, Puan Ng Lee Tieng serta Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen.
Armizan berkata, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditempatkan di lokasi strategik dan kawasan tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit serta platform jualan dalam talian.
Katanya, langkah itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan serta melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.
Dalam masa sama, KPDN turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga bazar mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Pantau.
Beliau menegaskan, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Sementara itu, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Armizan dan Ng Lee Tieng (tengah) bersama tetamu kehormat lain memotong reben sebagai simbolik perasmian Burger King Benoni Drive-Thru di Parklane City Benoni.



