Perkukuh keselamatan makanan, tingkatkan Nisbah Sara Diri – Hajiji
Oleh WU VUIDE
TUARAN: Sebanyak RM559.85 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keselamatan makanan Sabah serta meningkatkan Nisbah Sara Diri (SSR) bagi tanaman makanan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan agenda keselamatan makanan kekal kukuh dan mampan.
“Seperti yang kita maklum, keselamatan makanan kini menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional.
“Perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos sara hidup menuntut pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif,” katanya ketika melancarkan Program Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan akan terus menjadi tulang belakang pembangunan sosioekonomi Sabah.
Katanya, beberapa inisiatif sedang dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah sebagai agensi peneraju pembangunan subsektor tanaman, termasuk pembangunan Zon Pengeluaran Kekal Tanaman Makanan di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan operasi, manakala RM15 juta lagi disediakan untuk perolehan jentera penuaian dan pembajakan.
“Semua inisiatif ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar beras yang mampan dan berdaya saing, di samping memperkukuh keselamatan makanan dengan sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Hajiji yakin tiga teras ekonomi negeri iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang di bawah hala tuju SMJ 2.0.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keselamatan makanan bukan hanya tanggungjawab ladang berskala besar atau projek mega semata-mata.
“Ia bermula dari peringkat akar umbi, iaitu kebun di halaman rumah sendiri. Dalam konteks ini, inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar bukan sahaja menumpukan kepada pengeluaran makanan, malah memberi penekanan terhadap pengurangan kos sara hidup dan pembinaan komuniti yang lebih berdikari serta lestari,” katanya.
Program Jelajah Kebun Dapur yang akan dilaksanakan di seluruh negeri itu bertujuan memastikan inisiatif berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Justeru, saya mahu melihat Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Model Kebun Dapur’, bukan sekadar melaksanakan inisiatif ini, tetapi menjadikannya sebahagian daripada budaya hidup masyarakat.
“Saya berharap setiap kampung, taman perumahan dan komuniti merebut peluang ini untuk mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, jelajah itu menggunakan pendekatan mentor–mentee, di mana usahawan berjaya dan berpengalaman akan membimbing serta menasihati komuniti setempat.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pemindahan ilmu dan amalan terbaik secara berterusan, malah memperkukuh pelaksanaan di peringkat akar umbi serta membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau turut menggesa golongan belia di negeri ini, khususnya di Tuaran, agar merebut peluang melalui siri jelajah berkenaan untuk mempelajari teknik pertanian pintar berasaskan inovasi dan teknologi yang berpotensi menjana pendapatan tambahan.

BERI MAKAN …. Hajiji memberi makan ikan yang dipamerkan pada Program Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Tuaran.






