Bantuan banjir DUN Melalap dipergiat

Sebanyak 12 PPS tampung hampir 1,500 mangsa

Oleh JOHN TAMBANAN


TENOM: Usaha meringankan beban penduduk terjejas banjir di kawasan DUN Melalap terus dipergiatkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, pelbagai bentuk bantuan segera digerakkan bagi memastikan mangsa menerima keperluan asas dengan cepat, termasuk bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan dan barangan keperluan harian.
Setakat ini, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh DUN Melalap bagi menempatkan kira-kira 450 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan hampir 1,500 penduduk yang terjejas.
Menurutnya, semua PPS dikawal selia secara rapi bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan keselesaan mangsa sentiasa terjamin sepanjang tempoh pemindahan.
Jamawi berkata, daerah Tenom turut dilanda banjir sebanyak tiga kali sejak awal tahun ini, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada penduduk serta agensi terlibat dalam pengurusan bencana.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi faktor utama kelancaran operasi bantuan.
Katanya, semua agensi berkenaan bertindak secara bersepadu bagi mempercepatkan proses pemindahan dan penyaluran bantuan kepada mangsa.
Selain bantuan kecemasan, pihak ADUN dan kementerian turut menilai keperluan bantuan susulan termasuk kerja pembersihan rumah, penilaian kerosakan harta benda serta penyaluran bantuan pemulihan.
Langkah itu, jelasnya, bertujuan membantu penduduk kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin selepas air surut.
Jamawi turut menasihatkan penduduk agar sentiasa memantau perkembangan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
Beliau pada masa sama memuji keprihatinan komuniti setempat yang tampil membantu mangsa melalui sumbangan makanan, pakaian dan barangan keperluan secara sukarela.
“Kerajaan Negeri akan memastikan segala bantuan dan sokongan diberikan secara berterusan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

JAMAWI JAAFAR