Oleh JOHN TAMBANAN
TENOM: Pengagihan 1,300 bakul makanan dan minuman Fasa 2 kepada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap bermula hari ini dengan penghantaran dibuat terus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di setiap kampung yang terjejas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Jamawi Jaafar berkata, bantuan berkenaan diselaraskan oleh Pusat Khidmat Rakyat ADUN Melalap bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Melalap.
Menurutnya, Fasa 1 sebelum ini telah diagihkan di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada hari pertama dan kedua banjir besar yang melanda daerah Tenom.
“Bagi Fasa 2 ini, penghantaran dibuat terus kepada Ketua Isi Rumah di kampung-kampung terjejas bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Jamawi memaklumkan kesemua bakul makanan tersebut telah dibungkus dan disediakan oleh petugas serta sukarelawan Pusat Khidmat Rakyat yang bertungkus-lumus sejak hari pertama bencana melanda.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan itu.
“Terima kasih kepada semua penyumbang, petugas, Tenom Four Wheel Drive Club dan para sukarelawan yang bersama-sama membantu mangsa banjir. Komitmen dan solidariti anda amat dihargai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan simpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Kepada semua mangsa banjir, saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban seisi keluarga,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan kebajikan penduduk yang terjejas terus diberi perhatian sehingga keadaan kembali pulih.

Jamawi Jaafar




